PAPAR: Penduduk di daerah ini perlu diberikan penjelasan berhubung cadangan kerajaan untuk membina lapangan terbang baharu menggantikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di Kimanis, dekat sini terutama berkaitan status tanah di kawasan yang berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Dr Daud Yusof berkata, penduduk Kimanis tertanya-tanya mengenai perkara itu selepas rancangan untuk membina lapangan terbang baharu dilaporkan media, baru-baru ini.
Katanya, penjelasan itu penting bagi mengelak sebarang bantahan atau perkara lain yang berbangkit, terutama berkaitan status tanah yang diduduki atau diusahakan penduduk di kawasan terbabit ketika ini.

“Penjelasan ini penting berikutan kebanyakan tanah yang akan diambil untuk pembinaan lapangan terbang baharu itu adalah dimiliki oleh penduduk kampung.
“Jadi, sebelum sebarang tindakan dilaksanakan, taklimat perlu diberi kepada penduduk berikutan ada sesetengah penduduk sudah membina rumah dan bercucuk tanam termasuk ladang getah, sayur dan sebagainya kerana ia sumber pendapatan mereka.
“Sekiranya tidak diberikan taklimat yang sepatutnya, masyarakat tidak faham dan ini akan menyebabkan berlakunya protes. Perbincangan dengan tuan tanah penting agar rakyat berpuas hati perihal pampasan jika tanah mereka diambil,” katanya ditemui pada Program Gotong Royong Perdana di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Bongawan, di sini, semalam.
Beliau mengulas laporan berhubung kajian kesesuaian pembinaan lapangan terbang baharu di Kimanis yang dilaksanakan anak syarikat Kerajaan Negeri Sabah, Qhazanah Sabah Berhad (QSB).

Cadangan pembinaan lapangan terbang baharu itu antara lain bagi memenuhi keperluan penumpang yang dijangka terus meningkat pada masa depan selain sebagai satu langkah mengembangkan pembangunan Kota Kinabalu.
Lokasi cadangan lapangan terbang baharu itu terletak di Kimanis, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan, kira-kira 60 kilometer di selatan bandar raya Kota Kinabalu.
Sementara itu, Dr Daud berpandangan belum ada keperluan untuk memindahkan KKIA ke Kimanis dalam tempoh terdekat memandangkan lapangan terbang sedia ada di Kota Kinabalu masih dapat menampung penumpang.
“Bagaimanapun, kita melihat perlu ada persiapan untuk masa hadapan kerana ia penting bagi menjana pendapatan di kawasan Bongawan.
“Apabila KKIA dibina di kawasan ini dan perubahan baharu itu membawa pembangunan yang pesat, saya yakin suatu hari nanti Kimanis akan menjadi bandar baharu.
“Ini akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk dan kita mengalu-alukan perancangan ini tetapi saya meminta agar kerajaan menyediakan kemudahan infrastruktur dan menyelesaikan masalah air, jalan raya serta elektrik,” katanya.
Langkah awal itu, katanya perlu bagi memastikan kemudahan infrastruktur yang mencukupi bagi memenuhi keperluan pembangunan baharu, termasuk pembinaan lapangan terbang di Kimanis pada masa depan. – Info X