Search

KKM pantau gelombang baharu COVID-19 di Singapura

May 19, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan (KKM) meneliti trajektori gelombang baharu COVID-19 berikutan peningkatan dua kali ganda kes yang direkodkan di Singapura sejak dua minggu lalu, lapor Harian Metro.

Perkara itu dinyatakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, sambil menjelaskan peningkatan kes COVID-19 secara mendadak di negara jiran itu membabitkan dua sub varian baharu Omicron.

“KKM sedang memantau trajektori gelombang baharu peningkatan dua kali ganda kes COVID-19 yang dilaporkan di Singapura.

“Setakat ini, dilaporkan ia membabitkan kes gabungan sub varian KP1 dan KP2 yang menyumbang lebih dua pertiga daripada kes COVID-19 di Singapura,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro, berdasarkan satu hantaran di X, hari ini.

Dr Dzulkefly memberi penjelasan itu sebagai maklum balas kepada pertanyaan seorang pengguna X sama ada Malaysia bersedia untuk berdepan gelombang baharu COVID-19, seperti yang sedang melanda Singapura.

Pengguna terbabit meninggalkan komen dalam satu hantaran infografik menunjukkan peningkatan kes di Singapura bagi tempoh 5 hingga 11 Mei dengan jumlah kes baharu melonjak kepada 25,900 iaitu peningkatan mendadak berbanding 13,700 kes pada minggu sebelumnya.

Sementara itu, di Malaysia, jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan pada 12 hingga 18 Mei 2024 ialah 1,230 berbanding 1,071 kes pada minggu sebelumnya dengan peningkatan 14.8 peratus. – Info X