Search

Isu 40 peratus: Hak perlembagaan Sabah terpelihara

May 19, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah mengulangi keteguhan dedikasinya untuk menjaga hak perlembagaan Sabah, khususnya mengenai 40 peratus pemberian khas hasil bersih yang termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Besar negeri, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof, berkata Jabatan Peguam Besar terbabit secara aktif dalam semua perbincangan berkaitan perkara itu bersama dengan Kementerian Kewangan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Pendirian kita selari sepenuhnya dengan kenyataan Ketua Menteri baru-baru ini yang mengesahkan keazaman negeri menegakkan hak perlembagaannya dan akan berterusan dalam perjuangan untuk semua hak Sabah yang digariskan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Jabatan Peguam Besar negeri memainkan peranan penting dalam rundingan ini, memastikan tuntutan undang-undang dan perlembagaan Sabah diwakili dengan berkesan.

“Usaha konsisten kita ditumpukan dalam memastikan Kerajaan Persekutuan mematuhi formula perkongsian hasil yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini termasuk mendapatkan bayaran pampasan untuk ‘tahun yang hilang’ dari 1974 hingga kini apabila tiada semakan dilaksanakan terhadap pemberian khas itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Kenyataan Jabatan Peguam Besar negeri itu menyusul selepas isu 40 peratus menjadi perdebatan hangat pelbagai pihak, khususnya parti politik berikutan prosiding rayuan semakan kehakiman berhubung perkara itu di Mahkamah Rayuan, di sini pada Khamis lalu.

Mengenai prosiding perundangan yang diinisiatifkan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) itu, beliau berkata Jabatan Peguam Besar negeri menghormati hak persatuan itu untuk mendapatkan semakan kehakiman sebagai litigasi kepentingan awam yang penting bagi menegakkan undang-undang dan memastikan keadilan.

Sementara itu, katanya Jabatan Peguam Besar negeri akan mengambil pendekatan yang perlu untuk membetulkan kenyataan salah yang menyimpang daripada kedudukan rasmi dan jelas kerajaan negeri.

“Tanpa mengira keputusan Mahkamah Rayuan, Sabah mengekalkan tuntutan rasminya bahawa Kerajaan Persekutuan memenuhi obligasi undang-undang dan perlembagaannya mengenai pemberian khas.

“Kelayakan kewangan ini, berakar umbi dalam rundingan pra-pembentukan Malaysia dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, adalah hak Sabah yang tidak boleh dirunding,” katanya.

Nor Asiah berkata, Jabatan Peguam Besar negeri memberi jaminan kepada rakyat Sabah bahawa ia akan meneruskan usaha tanpa berbelah bahagi untuk menuntut semua hak yang sepatutnya diberikan kepada negeri mengikut MA63 dan Perlembagaan Persekutuan. – Info X