SEMPORNA: Seorang pegawai pasukan 69 Komando (VAT 69) dilaporkan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika menjalani latihan menyelam di Pulau Mataking, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 10.25 pagi, Inspektor Khairul Azhar Kamaruddin, berusia dalam lingkungan 40-an, dilaporkan tidak sedarkan diri ketika latihan menyelam yang dijalankan di kawasan perairan berhampiran Pos Gabungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Pulau Mataking.
Difahamkan, Allahyarham bersama sepasukan anggota Team Charlie VAT 69 tiba di jeti sekitar jam 8 pagi sebelum bergerak ke lokasi latihan selepas membuat persiapan peralatan.
Maklumat kecemasan diterima selepas pihak sebuah resort berhampiran memaklumkan pegawai terbabit tidak sedarkan diri ketika latihan menyelam dijalankan.
Bantuan awal termasuk pertolongan cemas dan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) segera diberikan oleh kakitangan resort bersama anggota VAT 69 yang berada di lokasi.
Mangsa kemudiannya dibawa keluar dari lokasi latihan dan dihantar menggunakan bot ke Hospital Semporna bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Allahyarham memegang jawatan Troop Commander 9, Skuadron C, 69 Komando yang berpangkalan di Ulu Kinta, Perak.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam hantaran menerusi laman Facebook rasminya memaklumkan beliau amat sedih menerima berita kehilangan seorang lagi anggota PDRM, khususnya membabitkan insiden ketika latihan.
Menurutnya, kehilangan Allahyarham adalah kehilangan besar kepada pasukan PDRM dan warga Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh beliau, mengampunkan segala dosa, serta menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman.
“Saya turut mendoakan Allah SWT menganugerahkan pahala atas segala jasa dan sumbangan beliau kepada negara,” katanya. – Info X