Search

Kenderaan dipintas polis, dua lelaki disyaki curi kabel Telekom

January 22, 2026

Info X Reporters

KOTA BELUD: Cubaan melarikan diri gagal apabila dua lelaki bukan warga tempatan disyaki mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) dicekup polis di daerah ini, tengah hari tadi.

Kejadian bermula apabila sepasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) menjalankan sekatan jalan raya (SJR) Op Perdagangan di Jalan Ranau Bypass berhampiran Kampung Rangalau.

Dua lelaki bukan warga tempatan disyaki mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) dicekup polis di Kota Belud.

Bagaimanapun, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton berwarna oren bertindak memecut melarikan diri dalam keadaan mencurigakan sebaik menghampiri lokasi sekatan.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain, berkata susulan tindakan suspek melarikan diri dari lokasi sekatan, polis menggerakkan tindakan susulan sehingga ke Kampung Bokilong, sebelum sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan suspek berjaya ditahan dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ).

Menurutnya, beberapa rakan suspek lain bagaimanapun berjaya melarikan diri ke kawasan hutan, manakala dua lelaki berusia 25 dan 27 tahun berjaya ditahan di lokasi.

Kenderaan dipandu suspek dipercayai digunakan untuk mencuri kabel TM berjaya dipintas di Kota Belud.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan, polis menemukan beberapa gulungan kabel di bahagian belakang kenderaan terbabit.

“Semua suspek bersama kenderaan dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 22A Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Negeri Sabah (OKKNS) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, dan usaha mengesan suspek lain yang melarikan diri masih diteruskan.

Dalam pada itu, beliau berkata polis memberi amaran tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan jenayah yang boleh menjejaskan kemudahan awam dan keselamatan masyarakat. – Info X