KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah terus mempergiat penguatkuasaan apabila seramai 62 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Sapu yang dilaksanakan di sekitar bandar raya ini, kelmarin.
Operasi berkenaan dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasa, Unit Operasi JIM Sabah, dengan penglibatan 46 pegawai penguat kuasa, menyasarkan beberapa kawasan penempatan yang dikenal pasti menjadi tumpuan PATI.

Menerusi kenyataan di Facebook rasmi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah hari ini, seramai 140 individu diperiksa, sebelum 27 lelaki dan 35 perempuan warga asing ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan serta pas yang sah.
Menurut kenyataan itu, tangkapan membabitkan 61 warganegara Filipina dan seorang warganegara Indonesia, yang disyaki melakukan kesalahan berada di negara ini tanpa kebenaran sah.

Katanya, semua individu yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Tambahnya, operasi seumpama itu akan diteruskan secara berfokus dan berterusan sebagai komitmen membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara. – Info X