Search

Singapura buka Pejabat Konsulat di KK

January 23, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pembukaan pejabat konsulat Singapura di Kota Kinabalu disifatkan sebagai perkembangan positif yang mampu mengukuhkan hubungan dua hala Sabah-Singapura.

Sambil mengalu-alukan keputusan republik itu membuka pejabat konsulatnya di sini, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pembukaan konsulat berkenaan mempunyai kepentingan strategik dari aspek ekonomi, diplomatik, pelaburan, perdagangan dan keselamatan di antara Sabah dan Singapura.

Beliau yakin kehadiran konsulat Singapura di Sabah dapat memperluas kerjasama kedua-dua pihak, sekali gus membuka lebih banyak peluang pelaburan dan perdagangan yang memberi manfaat langsung kepada pembangunan negeri.

“Kerajaan Negeri mengalu-alukan pembukaan pejabat konsulat Singapura di Sabah pada tahun ini. Ia merupakan satu perkembangan positif yang mampu mengukuhkan lagi hubungan sedia ada di antara Sabah dan Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, TYT Vanu Gopala Menon, di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.

Hajiji berkata, kerajaan negeri turut mengalu-alukan kehadiran pelabur dari Singapura untuk menerokai sektor berdaya saing di Sabah, selain menggalakkan lebih ramai pelancong dari negara itu berkunjung ke negeri ini.

Sementara itu, Vanu Gopala Menon berkata Singapura akan membuka pejabat konsulat di Sabah dan Sarawak selepas memperoleh kelulusan Kerajaan Malaysia bulan lalu.

Pada 4 Disember lalu, Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, menyambut baik kelulusan rasmi Malaysia terhadap cadangan pembukaan konsulat Singapura di Sabah dan Sarawak, yang disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh hubungan di antara kedua-dua negara. – Info X