KOTA KINABALU: Enam kenderaan rosak selepas dihempap runtuhan konkrit di kawasan parkir sebuah pasar raya mini Taman Landbreeze, Lido Luyang, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, lima kereta dan sebuah motosikal rosak.
Difahamkan, runtuhan itu membabitkan balkoni bangunan berkenaan.
Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Sepasukan polis dari Balai Polis Luyang diketuai Sub Inspektor Mohd Rashidi Nawawi bergegas ke lokasi sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Penguat kuasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) turut berada di lokasi kejadian.
Pasukan keselamatan memasang sawar-sawar di sekitar kawasan yang berlaku runtuhan.
Difahamkan, kerja-kerja pembersihan akan dilakukan kontraktor yang dilantik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang Phoong Jin Zhe bersama Mayor DBKK Noorliza Awang Alip turut berada di lokasi kejadian. – Info X