Search

Kota Kinabalu tuan rumah SAGA 2023

March 21, 2023

admin

KOTA KINABALU: Bandar raya Kota Kinabalu menjadi tuan rumah temasya Sukan SAGA (Sabah Games) edisi ke-10 yang bakal berlangsung pada 16 hingga 22 Disember depan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin berkata, Kota Kinabalu sebenarnya menjadi hos temasya sukan terbesar di Sabah itu pada 2021 namun ianya tertangguh berikutan penularan wabak Covid-19.

“Pada hari ini, kita mengadakan mesyuarat jawatankuasa induk SAGA edisi ke-10 2023 dan telah diputuskan Kota Kinabalu dipilih sebagai hos penganjur SAGA kali ini selepas Keningau pada 2019.

“Syabas, tahniah dan terima kasih kepada Mayor Bandaraya Kota Kinabalu kerana sudi menjadi hos kejohanan kali ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan, di sini, hari ini.

Ellron berkata, beliau berharap kesemua 27 daerah akan menyertai edisi SAGA kali ini, sama seperti sebelumnya apabila sebanyak 27 kontinjen ‘mewarnai’ SAGA di Keningau.

Katanya, jumlah berkenaan juga bakal betambah pada tahun-tahun akan datang berikutan penambahan daerah di negeri ini.

Sementara itu, beliau berkata, terdapat 10 acara sukan wajib dalam kejohanan berkenaan iaitu badminton, bola sepak, boling padang, berbasikal, hoki, karate, memanah, olahraga, pencak silat dan sepak takraw.

Selain itu, katanya, sebanyak 13 acara sukan pilihan turut dipertandingkan iaitu angkat berat, bola jaring, bola keranjang, bola tampar, golf, muay, ping pong, pentanque, ragbi, tenis, tinju, Wushu dan E-Sport.

Sukan E-Sport yang dipertandingkan kali ini juga akan termasuk dalam pengiraan pingat berbanding hanya sekadar pertunjukan pada edisi SAGA lalu.

“Bagi sukan E-Sport, acara yang dipertandingkan ialah Mobile Legend, PES 2022 dan Tekken 7 dengan ianya terbahagi kepada dua kategori iaitu lelaki dan wanita.

“Pada SAGA edisi ke-9 di Keningau sebelum ini, hanya dua acara dipertandingkan sebagai pertunjukan sahaja iaitu Mobile Legend Bang Bang dan Dota.

“Walaupun E-Sport merupakan industri sukan yang masih baharu, namun ia berkembang dengan begitu pesat seiring dengan perkembangan teknologi masa kini,” katanya.

Dalam pada itu, Ellron berkata, peruntukan kewangan untuk subsidi pemilihan atlet SAGA edisi ke-10 bagi masing-masing 27 daerah telah disalurkan oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah kepada Pejabat Daerah yang secara keseluruhan berjumlah RM400,000. – Info X