KOTA KINABALU: Seramai kira-kira 500 penduduk daripada lapan kampung di tiga daerah berarak sejauh 500 meter sehingga di hadapan pintu pagar utama bangunan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah bagi menuntut hak berkaitan tanah di kawasan masing-masing.
Antara dituntut mereka termasuk memohon penjelasan dari pihak jabatan mengenai Geran Komunal bagi enam kampung di daerah Nabawan yang telah dibatalkan.
Semua kampung di Nabawan berkenaan adalah Kampung Koyoon, Kainggalan, Tonomon, Kukuamas, Bigor dan Bukokoh.
Selain itu, pihak penduduk juga ingin penjelasan berhubung isu pembatalan permohonan tanpa sebab bagi tanah di Kampung Madai Baturung, Kunak selain mahu mengetahui status permohonan tanah di Kampung Montoki, Ranau.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, perarakan yang diketuai MHO itu adalah bertujuan untuk menghantar surat memohon penjelasan berkaitan semua isu melibat kampung-kampung di tiga daerah berkenaan.
“Kita menghargai usaha pihak pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah kerana sudi meluangkan masa dan bertemu terus dengan penduduk kampung yang datang hari ini.
“Surat-surat juga sudah diserahkan terus kepada beliau dan kita memberi masa dalam tempoh 14 hari untuk pihaknya menyatakan jawapan serta penjelasan.
“Beliau bersetuju untuk membuat jawapan bertulis selain mahu turun di kawasan kampung.
“Harus ada pencerahan daripada dua hala. Jangan biar orang tertanya-tanya sehingga penduduk membuat aduan dan kita terpaksa menjadi pihak yang bersuara.
“Perkara ini bukan isu politik, ia isu melibatkan rakyat yang merasa diri mereka ditindas,” katanya ketika ditemui selepas menghantar surat memohon penjelasan dari JTU Sabah, di sini, hari ini.
Turut hadir Penyelaras MHO Sabah, Jerry Jaimeh.

Ketika ditanya apakah tindakan lanjut MHO sekiranya usaha dilaksanakan hari ini masih gagal menemui jalan penyelesaian, Hishamuddin menegaskan pihaknya bakal membawa perkara sama ke peringkat lebih tinggi termasuklah bertemu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Datuk Bernard Liew Chau Min memaklumkan beliau sendiri pada bulan Ramadan nanti bakal turun bagi mengaturkan perjumpaan dengan penduduk untuk memberikan penjelasan tentang kes-kes yang dinyatakan.
“Ada perkara ini melibatkan pihak ketiga dan kita bimbang mungkin ada salah faham.
“Saya rasa semua ini boleh diselesaikan apabila ada perundingan yang baik. Kita di kerajaan negeri selalu ambil berat tentang kebajikan tanah adat orang kampung dan tidak akan membatalkan mana-mana tanah tanpa sebarang alasan yang kukuh,” katanya. – Info X