KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan sebuah kapal korek pasir yang didapati beroperasi mengambil pasir tanpa kebenaran pihak berkuasa di perairan Pulau Usukan, Kota Belud, di sini, semalam.
Kapal korek yang disyaki berdaftar di Monggolia itu ditahan pegawai dan anggota PPM Wilayah 4 Sabah Kota Kinabalu menerusi Op Terancang, kira-kira jam 5 petang.
Menurut sumber, dalam operas itu PPM Kota Kinabalu merampas kapal dan pasir yang dianggarkan bernilai RM7.5 juta.

“Menerusi operasi itu pegawai dan anggota PPM Kota Kinabalu membuat pemeriksaan terhadap sebuah kapal korek yang sedang menjalankan aktiviti pengambilan pasir laut di 0.38 batu nautika dari Pulau Usukan.
“Hasil pemeriksaan mendapati kapten kapal seorang warga Indonesia gagal mengemukakan sebarang permit untuk mengambil pasir laut di kawasan berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Jelasnya, kapten dan dua kru kapal warga China ditahan bagi membantu siasatan.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan berkenaan.
“Kapal dan kandungan pasir dirampas untuk dirujuk kepada jabatan dan agensi berwajib untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X