Search

KPDN Sabah, TLDM perkukuh kerjasama strategik

April 11, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerjasama antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terus diperkukuh menerusi kunjungan hormat Timbalan Panglima Armada Timur ke pejabat agensi itu, semalam.

Kunjungan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Aras 4, KPDN Sabah itu menjadi platform mengeratkan hubungan strategik antara kedua-dua agensi, khususnya dalam aspek penguatkuasaan dan perkongsian maklumat.

Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, antara perkara utama dibincangkan termasuk pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

Menurutnya, cadangan pelaksanaan Operasi Bersepadu turut diperhalusi dari segi mekanisme bagi meningkatkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan di lapangan.

“Selain itu, perbincangan turut menyentuh permohonan penggunaan fasiliti TLDM pada masa akan datang bagi menyokong keperluan operasi dan logistik, khususnya dalam menangani isu penyelewengan barangan kawalan di Sabah,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama erat antara KPDN dan TLDM amat penting dalam memastikan tindakan bersepadu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Kunjungan ini juga membuka ruang kepada penyelarasan tindakan, selain memperkukuh perkongsian maklumat dalam usaha membanteras penyelewengan subsidi kerajaan serta memastikan kestabilan bekalan dan pasaran terus terpelihara,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Panglima Armada Timur TLDM, Laksamana Pertama Erman Shahril Adlan, Timbalan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN, Fredeck Kantod, serta pegawai kanan kedua-dua agensi. – Info X