Search

Ops Mabuk kesan 2 lelaki memandu di bawah pengaruh alkohol

April 11, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Dua lelaki ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk yang dijalankan di Jalan Pintas, di sini, awal pagi tadi.

Operasi berkenaan dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, kedua-dua individu itu ditahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu melebihi had alkohol yang ditetapkan.

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000, selain hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun.

“Dalam operasi sama, sebanyak 14 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, termasuk empat kes membabitkan pemandu yang tidak memiliki lesen memandu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, operasi berkenaan diketuai Ketua BSPT IPD Penampang, Inspektor Rozami Ahmad bersama enam anggota polis.

“Sepanjang operasi dijalankan, seramai 67 individu dan 56 kenderaan diperiksa bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang serta peraturan lalu lintas,” katanya.

Menurutnya, Op Mabuk akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi membendung kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Katanya, langkah itu juga bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya di daerah ini. – Info X