KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di seluruh negara sempena sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.
Skim yang berkuat kuasa 29 Mei hingga 4 Jun depan itu menyenaraikan 10 jenis barangan untuk Pesta Kaamatan dan 11 barangan lagi bagi pelaksanaan SHMMP Hari Gawai tahun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, KPDN sudah mengenal pasti dan menambah dua jenis barangan sempena perayaan Pesta Kaamatan iaitu bawang kuning besar import dan bawang merah besar import.
“Kita turut menambah tiga barangan bagi senarai SHMMP Hari Gawai iaitu kelapa biji, kelapa parut dan santan.
“Pertambahan dan penentuan jenis serta harga maksimum bagi SHMMP Pesta Kaamatan dan SHMMP Hari Gawai 2025 dibuat melalui perbincangan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan agensi di bawahnya selain mengambil kira pandangan pemain-pemain industri,” katanya.
Armizan berkata demikian ketika sidang media sempena Pengumuman SHMMP Pesta Kaamatan dan SHMMP Hari Gawai 2025 di Dewan Pisompuruan, Kampung Kobuni, Inanam, hari ini.
Antara barangan harga terkawal lain bagi Pesta Kaamatan 2025 adalah kepak ayam, cili kering keriting, bawang merah kecil (India) dan bawang putih (China)
Manakala bagi SHMMP Pesta Hari Gawai 2025 pula, senarai barangan terlibat daging khinzir (perut), ayam tua hidup, kepak ayam, kubis bulat import (Indonesia dan China), bawang putih (China) dan cili kering keriting.
Sementara itu, Armizan memaklumkan SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2025 bakal dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] dan membolehkan penentuan harga maksimum dibuat.
Menurutnya, harga maksimum yang telah ditetapkan untuk skim ini boleh disemak melalui laman web KPDN.
“Pegawai-pegawai penguatkuasa KPDN akan ditugaskan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani, pasar tamu dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan,” katanya. – Info X