TAWAU: Tiga cedera dan melecur apabila rumah dihuni mereka musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Rawa-Rawa, Batu 4, di sini, awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Penolong Penguasa Bomba, Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima terima panggilan kecemasan pada 6.01 pagi.
Katanya, sepasukan 14 anggota bersama dua jentera dengan dibantu Bomba Komuniti Kampung Titingan 1, dihantar ke lokasi.
“Sebaik tiba didapati kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat, terbakar sepenuhnya dan terdapat tiga mangsa.
“Dua wanita berusia 53 dan 41 tahun melecur di kaki dan cedera bahagian muka serta patah gigi. Seorang lagi mangsa lelaki berusia 19 tahun cedera di bahagian kaki,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua mangsa diberi rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seterusnya dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan susulan.
“Api dapat dikawa daripada merebak dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.27 pagi,” katanya. – Info X