Search

KPT komited selesai isu elaun pelajar ‘Intern’

June 17, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited untuk mencari solusi bersama dengan semua jabatan kerajaan dan swasta supaya isu elaun pelajar yang menjalani latihan industri dapat diselesaikan dengan baik.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohd Yusof Apdal berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan jabatan kerajaan dan swasta bagi menyelesaikan berkenaan di negara ini.

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung isu elaun pelajar yang sedang menjalani latihan industri atau dikenali ‘Intern’ sebelum menamatkan pengajian.

“Memang kita ada mendengar keluhan dalam kalangan pelajar yang sedang menjalani latihan industri tidak dibayar elaun.

“Saya percaya Kementerian Sumber Manusia juga sudah maklum dan kita akan cuba berbincang untuk mengatasi masalah tersebut,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu berkata demikian ketika ditemui dalam Program Hala Tuju Kerjaya Lepasan Tingkatan Lima dan Enam, di sini hari ini.

Menurutnya, KPT sentiasa mengambil perhatian berhubung masalah yang dihadapi semua pelajar universiti di negara ini.

“Kita juga mendapat maklumat mengenai pelajar terpaksa menanggung kos tempat tinggal, keperluan makanan harian dan pengangkutan semasa menjalani latihan industri.

“Justeru, KPT akan berusaha supaya pelajar mendapat pembelaan yang sepatutnya menerusi perbincangan yang dilakukan bersama jabatan kerajaan dan swasta,” katanya.

Terdahulu, seorang mahasiswa yang bakal menjalani latihan industri menyuarakan kebimbangan bagaimana dia akan bertahan sepanjang menjadi pelajar ‘intern’.

Dia juga menyifatkan pelajar ‘intern’ bukan buruh percuma selepas melihat permohonan latihan industri menawarkan elaun kecil dan malah ada yang tidak diberi elaun langsung.

Isu berkenaan juga pernah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Jun lalu melalui persidangan Dewan Rakyat yang mencadangkan agar kerajaan mengubal Akta Latihan Amali Berbayar. – Info X