Search

Pemandu pelancong ditahan kerana ugut bunuh

June 17, 2023

Info X Reporters

SEMPORNA: Polis menahan pemandu pelancong yang disyaki membuat ugutan bunuh terhadap seorang lelaki dalam kejadian di sebuah pulau, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa lelaki tempatan berusia 28 tahun mengatakan menerima ugutan bunuh ketika berlaku pertengkaran mangsa dan beberapa lelaki di pulau berkenaan.

Katanya, kejadian itu berlaku jam 10 pagi, kelmarin di hadapan sebuah sekolah swasta yang diuruskan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

“Kejadian dipercayai berlaku apabila sekumpulan pemandu pelancong tidak puas hati dengan mangsa yang merakam kelakuan pelancong mengambil gambar di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun pertengkaran itu dileraikan oleh ketua kampung dan ada dikalangan pemandu pelancong dikatakan mengeluarkan kata-kata ugutan untuk membunuh mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, bertindak atas laporan yang dibuat mangsa, polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna menahan seorang lelaki berusia 29 tahun bagi membantu siasatan.

“Suspek direman selama dua hari sehingga 19 Jun dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai atau saksi yang melihat kejadian itu dimohon untuk tampil menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat Sarjan Ruslan Hardi Hamil di talian 016-8050885 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Farhan berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan yang melanggar undang-undang negara yang sedang berkuatkuasa. – Info X