Search

KTV diserbu, pengurus pusat hiburan positif syabu ditahan

March 1, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebuah pusat hiburan karaoke (KTV) di pusat bandar raya ini diserbu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah awal pagi tadi.

Dalam operasi kira-kira jam 1.30 pagi itu, seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun yang juga pengurus premis berkenaan ditahan selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine hasil ujian saringan awal air kencing.

Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, serbuan dijalankan susulan risikan dan pemantauan terhadap premis hiburan terbabit.

“Seramai 17 pekerja dan pengunjung diperiksa dalam operasi berkenaan sebelum seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun ditahan selepas didapati positif methamphetamine dan amphetamine.

“Tiada sebarang dadah dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku mengambil minuman disyaki mengandungi dadah di sebuah premis hiburan lain dua hari sebelum tangkapan.

Menurutnya, tindakan risikan dan pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan pusat hiburan tidak dijadikan lokasi penyalahgunaan dadah.

“JSJN Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X