SANDAKAN: Cubaan menyeludup keluar 1,870 paket minyak masak bersubsidi gagal apabila dua bot ditinggalkan pemiliknya selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa dalam operasi di perairan Kampung Bokara Lama, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Sandakan sedang menjalankan rondaan rutin sebelum mengesan dua bot dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, anggota penguat kuasa kemudian menghampiri kedua-dua bot terbabit untuk tujuan pemeriksaan.
“Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, beberapa individu yang berada di lokasi bertindak melarikan diri ke kawasan berhampiran dan meninggalkan bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 1,870 paket minyak masak yang dipercayai cuba diseludup keluar tanpa kebenaran.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki menyeludup barang kawalan tanpa permit sah.

“Semua rampasan termasuk dua bot berserta enjin dan minyak masak dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM50,000,” katanya.
Muhamad Suhairy berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti penyeludupan di perairan negara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim diminta menyalurkannya melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 bagi tindakan segera,” katanya. – Info X