Search

10 ditahan pertaruhan lumba lari atas jalan raya

March 1, 2026

Info X Reporters

KENINGAU: Tindakan menjadikan sukan lumba lari sebagai medan pertaruhan wang membawa padah apabila digempur polis dalam Op Bersepadu di Bandar Baru Bataras, di sini, semalam.

Malah lebih mengejutkan, dalam operasi itu turut dirampas bahan disyaki dadah jenis syabu dan air ketum selain beberapa individu ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, operasi yang bermula jam 11.30 malam hingga 3 pagi pada 28 Februari lalu itu dilaksanakan susulan maklumat awam dan hasil risikan berhubung penganjuran aktiviti lumba lari di atas jalan raya awam tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Katanya, seramai 36 pegawai dan anggota daripada beberapa bahagian terbabit dalam operasi berkenaan.

“Antara yang terlibat ialah Bahagian Siasatan Jenayah, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Cawangan Khas serta KDNKA.

“Ketika operasi dijalankan, didapati acara itu dihadiri sejumlah remaja dan belia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemukan bahan disyaki dadah jenis Methamphetamine serta minuman disyaki air ketum.

“Seorang lelaki ditahan mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Selain itu, 10 lelaki turut ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Beliau berkata, Bahagian Trafik turut mengeluarkan 25 saman atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi berkenaan.

“Secara keseluruhan, 130 individu dan 105 kenderaan diperiksa dalam operasi ini,” katanya.

Sementara itu, Yampil menjelaskan tindakan penguatkuasaan itu bukan bertujuan menghalang aktiviti sukan, sebaliknya bagi memastikan sebarang penganjuran program dilakukan secara sah dan mendapat kelulusan pihak berkuasa.

“Polis sentiasa menyokong program sukan yang terancang dan mematuhi undang-undang. Namun dalam kes ini, aktiviti dijalankan di atas jalan raya awam tanpa kebenaran serta melibatkan unsur pertaruhan wang dan penyalahgunaan bahan terlarang.

“Jalan raya awam adalah kemudahan untuk semua pengguna. Sebarang aktiviti yang mengganggu aliran trafik atau mendedahkan orang awam kepada risiko keselamatan adalah satu pelanggaran undang-undang dan perlu diambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata, operasi berkenaan juga bertujuan mencegah risiko kemalangan, penyalahgunaan dadah serta membendung pembudayaan aktiviti tidak sihat dalam kalangan remaja.

“IPD Keningau komited melaksanakan tugas secara profesional, berhemah dan tanpa pilih kasih demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa rakaman video memaparkan sekumpulan individu berkumpul di kawasan Bandar Baru Bataras dipercayai menyaksikan aktiviti lumba lari yang dijadikan medan pertaruhan.

Rakaman berdurasi beberapa saat itu turut menunjukkan kehadiran anggota penguat kuasa di lokasi sebelum beberapa individu dilihat ditahan bagi membantu siasatan. – Info X