Search

Lelaki maut tertembak ketika memburu

March 1, 2026

Info X Reporters

KOTA BELUD: Lelaki yang pada awalnya dipercayai maut akibat terjatuh dari pokok ketika memburu di Hutan Simpan Stesen Safoda, Ulu Kukut, di sini, semalam bagaimanapun disyaki terkena tembakan.

Dalam kejadian jam 7.17 malam itu, mangsa berusia 44 tahun ditemui dalam keadaan terbaring kira-kira 5.2 kilometer dari Pejabat Ladang Safoda.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian melalui MERS 999 sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan badan yang disyaki akibat kesan tembakan.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati mangsa keluar memburu bersama seorang lelaki berusia 35 tahun pada awal pagi hari kejadian.

“Susulan itu, polis menahan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan.

“Temu bual awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian terbabit,” katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas selaras senapang jenis bakakuk serta beberapa barangan berkaitan untuk tujuan pemeriksaan forensik dan analisis balistik.

“Permohonan reman sudah dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan. – Info X