PUTRAJAYA: Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) memaklumkan penutupan ruang udara di beberapa bahagian Asia Barat berpotensi menjejaskan operasi penerbangan antarabangsa tertentu ke dan dari negara ini.
Dalam kenyataan hari ini, CAAM berkata, syarikat penerbangan yang beroperasi ke dan dari rantau terjejas mungkin berdepan kelewatan, penjadualan semula waktu penerbangan, perubahan laluan atau pembatalan susulan sekatan ruang udara yang sedang berkembang serta pertimbangan operasi semasa.
Menurutnya, langkah berkenaan dilaksanakan demi kepentingan keselamatan dan selaras dengan keperluan penerbangan antarabangsa.
“CAAM sedang memantau situasi dengan rapi dan mengekalkan komunikasi berterusan dengan syarikat penerbangan berkaitan bagi memastikan kepentingan penumpang terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, semua syarikat penerbangan yang mengendalikan penerbangan ke dan dari Malaysia diingatkan supaya segera memaklumkan penumpang mengenai sebarang perubahan jadual termasuk kelewatan, penjadualan semula, perubahan laluan atau pembatalan.
Pada masa sama, syarikat penerbangan perlu menyediakan penjagaan, bantuan serta pilihan perjalanan yang bersesuaian kepada penumpang terjejas selaras dengan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC), selain memastikan komunikasi yang jelas, tepat pada masanya dan telus sepanjang tempoh gangguan.
Bagi penumpang yang melakukan perjalanan ke, dari atau transit melalui rantau terjejas, mereka dinasihatkan supaya menyemak status penerbangan secara langsung dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum berlepas ke lapangan terbang.
Penumpang juga digalakkan memastikan maklumat perhubungan dalam rekod tempahan adalah tepat dan dikemas kini bagi memudahkan penerimaan notifikasi.
Sekiranya berlaku gangguan, penumpang disaran menghubungi syarikat penerbangan bagi mendapatkan pilihan penjadualan semula, bayaran balik atau bantuan lanjut.
Menurut CAAM, penumpang yang merasakan hak mereka di bawah MACPC tidak dipatuhi perlu terlebih dahulu mendapatkan penyelesaian dengan syarikat penerbangan terbabit sebelum mengemukakan aduan melalui saluran rasmi pengguna pihak berkuasa itu untuk tindakan lanjut.
CAAM berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan di rantau berkenaan dan bekerjasama rapat dengan pihak industri bagi memastikan operasi penerbangan kekal selamat serta hak pengguna terus dilindungi. – Info X