Search

Penunggang maut dirempuh kenderaan di flyover

March 2, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Lahad Datu Bypass, Flyover Batu 6, Jalan Lahad Datu – Tawau, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang itu, mangsa berusia 42 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah Nissan Navara dipandu lelaki berusia 34 tahun bersama tiga penumpang wanita berusia 42, 56 dan 11 tahun.

“Kenderaan itu dalam perjalanan dari arah Tawau menuju ke Lahad Datu.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan terbabas dan terlanggar motosikal jenis Honda NSS250A yang berada di bahu jalan sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa dipercayai berada di bahu jalan dalam keadaan berhenti dan berehat di atas motosikalnya.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu serta tiga penumpang kenderaan berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan.

“Mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Lahad Datu, Inspektor Jafri Junat di talian 089-881255 atau hadir ke IPD Lahad Datu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan berhemah ketika memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – Info X