TONGOD: Empat kuarters guru dan kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Imbak, di sini, terbakar petang tadi.
Turut dilaporkan musnah ialah sebuah kenderaan dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tongod, Adrian Dauli berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu dan bergegas ke lokasi untuk membuat pemantauan dan penilaian risiko.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Seramai 13 mangsa terjejas akibat kebakaran.

“Kejadian disyaki berlaku akibat litar pintas elektrik, namun punca sebenar masih menunggu laporan rasmi dan siasatan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Hairi Utoh, berkata anggota bomba masih dalam perjalanan ke lokasi itu yang terletak kira-kira 167 kilometer (km) daripada balai. – Info X