SANDAKAN: Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggang bertembung dengan sebuah kereta Perodua Axia dalam kejadian di Batu 10, Jalan Sungai Batang, di sini, hari ini.
Mangsa berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi dalam kejadian kira-kira jam 4.40 pagi.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman, berkata siasatan awal polis mendapati motosikal ditunggang oleh mangsa datang dari arah Batu 8 menghala ke Batu 12, manakala kereta Axia dari arah bertentangan.
Ketika tiba di lokasi, katanya, kereta terbabit terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal yang ditunggang mangsa.
“Akibat kejadian itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa sudah dibawa ke unit forensik Hospital Duchess of Kent untuk proses bedah siasat.

“Pemandu kereta cuma mengalami luka di dada dan mendapatkan rawatan di hospital yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
George turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – Info X