KOTA KINABALU: Pemilik motosikal digalakkan menggunakan kunci tambahan sebagai langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko kenderaan mereka dicuri.
Kesedaran itu diterapkan menerusi Kempen Kunci Tambahan, Keselamatan Terjamin dan Bersama Mencegah Jenayah Kecurian Motosikal di perkarangan utama One Borneo Hypermall, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, penggunaan kunci tambahan mampu meningkatkan tahap keselamatan motosikal dan menyukarkan penjenayah melarikan kenderaan berkenaan.

“Pemilik motosikal perlu mengambil langkah pencegahan dan tidak hanya bergantung kepada sistem kunci sedia ada.
“Langkah mudah seperti memasang kunci tambahan boleh membantu mengurangkan risiko motosikal dicuri,” katanya ketika merasmikan kempen berkenaan.
Menurutnya, kempen itu dilaksanakan menerusi pendekatan pendidikan, hebahan dan interaksi bersama komuniti bagi meningkatkan kesedaran tentang jenayah kecurian motosikal.
Antara pengisian program ialah ceramah dan taklimat pencegahan jenayah, sesi ‘Talk To Us’ bersama Ketua Polis Balai Alamesra, pameran PDRM serta hebahan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

Kunci mangga keselamatan turut diserahkan kepada wakil penunggang FoodPanda dan orang awam bagi menggalakkan penggunaan kunci tambahan.
Program disertai kira-kira 100 peserta serta dihadiri ketua bahagian dan ketua polis balai IPD Kota Kinabalu bersama wakil One Borneo Hypermall, Silariang Motorsport dan FoodPanda Logistic. – Info X