KOTA KINABALU: Kunjungan hormat Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Sabah ke atas Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) pada Khamis dijangka bakal membina jambatan kerjasama di antara kedua pertubuhan itu dalam konteks pembangunan umat Islam di negeri ini.
Menurut Yang Dipertua Perkasa, Madsah Awang Aman berkata, kunjungan yang julung kali diadakan itu bertujuan untuk menyampaikan visi Perkasa kepada USIA.
“Tujuan kunjungan ini adalah untuk berkenalan sesama pimpinan dan juga ingin memperkenalkan apa itu Perkasa kepada pimpinan USIA.
“Untuk Makluman Perkasa Sabah telah dilancarkan pada Tahun 2010 dan dirasmikan pelancarannya oleh Datuk Seri Panglima Mohd Salleh Tun Mohd Said mantan Ketua Menteri Sabah.
“Keahlian Perkasa di seluruh Sabah sudah melebihi 30,000 orang Ahli dan Sandakan merupakan daerah yang mempunyai ahli Perkasa yang teramai di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Madsah berkata, pihaknya mengalu-alukan sebarang bentuk pembinaan hubungan kerjasama di antara pertubuhan tersebut dengan badan bukan kerajaan yang lain dalam usaha membangunkan dan mempertahankan kepentingan umat Islam di negeri itu.

“Perkasa Sabah mencari rakan seperjuangan strategik untuk sama-sama membangunkan dan mempertahankan kepentingan umat Islam di Sabah.
“Perjuangan Perkasa mempertahankan kepentingan Islam, Melayu dan bumiputera selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan bukanlah bersifat perkauman semata-mata seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
“Perkasa juga bersedia berjumpa dengan mana-mana badan bukan kerajaan bagi menyusun strategi secara bersama untuk membantu umat Islam yang majoritinya miskin selain bagi menyuarakan isu-isu berkenaan umat Islam secara teliti, cermat serta berhemah,” katanya. – Info X