Search

Kurang ilmu komunikasi punca wanita terkebelakang dalam sektor profesional – AWS

November 8, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kurangnya pendedahan terhadap kemahiran komunikasi dalam kalangan wanita antara faktor utama peluang pekerjaan dalam sektor profesional didominasi oleh kaum lelaki.

Presiden Pertubuhan Aspirasi Wanita Sabah (AWS), Marlina Madjid berkata, meskipun tiada data khusus sebagai justifikasi kepada kenyataan itu, hakikatnya jurang komposisi antara kaum lelaki dan wanita di dalam sektor pekerjaan jelas ketara disebabkan oleh faktor ketrampilan komunikasi ditunjukkan oleh golongan lelaki.

Katanya, perkara ini boleh diperhatikan melalui penglibatan kaum lelaki di dalam sektor profesional.

“Dari sudut peluang dan kelayakan akademik kaum wanita dan lelaki mempunyai kapasiti yang setara.

“Namun, apabila kita melihat secara kasar kompetensi komunikasi yang ditunjukkan oleh kaum lelaki di dalam bidang profesional umpamanya menunjukkan mereka memiliki pendedahan serta pengalaman yang lebih luas dalam konteks komunikasi,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Marlina berkata pihaknya akan terus menggiatkan usaha bagi meningkatkan kesedaran wanita di negeri Sabah terhadap kepentingan komunikasi dalam pembangunan kerjaya menerusi kursus pengucapan awam anjuran badan bukan kerajaan (NGO) itu dengan kerjasama pemimpin masyarakat setempat.

Presiden Pertubuhan Aspirasi Wanita Sabah (AWS), Marlina Madjid menyampaikan cendera kenangan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari.

“Setakat ini, Kursus Pengucapan Awan Zon 1 anjuran AWS di Kota Kinabalu pada 6 November lalu berjaya menarik penyertaan seramai 65 orang wanita daripada kalangan penjawat awam, dan swasta termasuk usahawan kecil.

“Program ini akan kita teruskan pada masa akan datang di zon lain sekitar Sabah bagi meningkatkan kesedaran wanita di negeri ini terhadap kepentingan komunikasi di dalam pembangunan kerjaya mereka,” tambah Marlina.

Pada 6 November lalu, satu program Kursus Pengucapan Awan Zon 1 anjuran AWS telah diadakan di Kota Kinabalu melibatkan seramai 65 peserta.

Turut hadir dalam program berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari. – Info X