KOTA KINABALU: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee percaya, perlawanan di gelanggang sendiri memberi kelebihan kepada anak didiknya apabila mereka melayan kunjungan Hai Phong FC dalam aksi kedua Kumpulan H, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2023, di Stadium Likas, di sini, malam esok.
Katanya, beraksi di tempat sendiri memberi kelebihan kepada para pemain untuk bermain dengan lebih yakin berbanding ketika bertandang ke gelanggang lawan sebelum ini.
Beliau berkata, selepas tewas 2-3 di Vietnam dalam aksi pertama menentang Hai Phong FC pada 25 Oktober lalu, pihaknya membuat analisa untuk mengenal pasti kelemahan dan memperbaikinya apabila bermain di Likas.
“Kita menganalisa perlawanan dengan Hai Phong, di mana apabila kita tewas di sana (Veitnam) sebelum ini, sudah sudah tentu ada banyak kelemahan yang perlu kita perbaiki.
“Sudah tentu juga Hai Phong mempunyai kelebihan tersendiri tetapi dalam masa sama kita tidak perlu terlalu gusar di mana kita bermain di Likas dan saya percaya bermain di tempat sendiri akan memberi kelebihan, tapi kita tidak boleh mengambil mudah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Piala AFC 2023 bagi perlawanan kedua Kumpulan H, Sabah FC menentang Hai Phong FC, di sini, hari ini.
Kedua-dua pasukan ketika ini berkongsi enam mata selepas tiga perlawanan pusingan pertama dengan Hai Phong sebagai pendahulu pasukan, manakala Sabah FC di tangga kedua.
Sementara itu, Kim Swee berkata beliau memastikan pemain Sabah FC menjalani latihan seperti biasa selepas perlawanan pertama dengan Hai Phong, kira-kira dua minggu lalu walaupun tiada perlawanan bagi mengekalkan intensiti pasukan.
Katanya, sama ada bermain banyak perlawanan atau tidak, ia tidak menimbulkan masalah selagi pasukan dapat mengimbangi apa yang perlu dilaksanakan pemain bagi mengekalkan prestasi untuk menghadapi perlawanan seterusnya.
“Bagi saya kita perlukan ‘balance’, kalau terlampau banyak perlawanan atau tiada perlawanan, ia akan menimbulkan masalah. Jadi yang penting setelah kita bermain dengan Hai Phong di Vietnam, selepas itu kita menjalani latihan seperti biasa untuk mengekalkan intensiti tertentu.
“Ini akan akan membantu kita walaupun tanpa perlawanan yang begitu lama. Jadi, esok saya berharap kita dapat menunjukkan prestasi yang lebih baik di mana itu adalah perlawanan yang amat penting dalam kumpulan kita,” katanya.
Mengenai kesebelasan utama, Kim Swee berkata semua pemain Sabah FC ketika ini dalam keadaan terbaik, kecuali beberapa tonggak penting yang perlu diteliti, khususnya Miguel Cifuentes atau Cifu, Telmo Castanheira dan Gabriel Peres.
Katanya, beliau juga akan membuat keputusan esok mengenai beberapa pemain kebangsaan dalam skuad Sang Badak seperti Darren Lok, Dominic Tan dan Stuart John Wilkin yang masih keletihan.
Dalam pada itu, Kim Swee berkata pihaknya tidak mengambil mudah kehadiran Hai Phong di Likas, esok meskipun pasukan berkenaan mengatakan ketiadaan beberapa tonggak pentingnya.
“Bagi saya ia bukan satu alasan di mana saya percaya mereka adalah satu pasukan yang telah bermain begitu lama dan mereka membuktikan apabila tewas kepada Hougang di Singapura tetapi kembali dengan lebih positif di Vietnam.
“Saya percaya corak permainan mereka tidak berubah di mana mereka mempunyai pemain import yang boleh dikeluar ganti bila-bila masa, jadi kita harus berwaspada dengan pemain yang diturunkan,” katanya. – Info X