SEMPORNA: Pertubuhan Skuad Anak Sabah mencipta sejarah apabila berjaya merekodkan kutipan sampah seberat 8,833.80 kilogram, diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai kutipan sampah terberat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini.
Jumlah sampah itu dikumpul melalui ‘Program Pembersihan Pantai Anak Sabah Semporna 2025’ yang menghimpunkan seramai 500 ahli Skuad Anak Sabah di Padang Pekan Semporna dan Kampung Air, dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta penduduk setempat.

Timbalan Presiden II Skuad Anak Sabah, Mazlan Mainan, berkata inisiatif itu bertujuan membantu membersihkan kawasan Kampung Air yang dihuni majoriti masyarakat anak jati Sabah dan berdepan masalah pengurusan sisa yang serius.
“Program ini turut memperkukuh semangat sukarelawan dalam memperjuangkan kebajikan serta kesejahteraan komuniti tempatan,” katanya.

Turut hadir wakil Malaysia Book of Records, Edwin Yeoh Tiong Chin, yang menyampaikan pengiktirafan rasmi kepada pihak penganjur.
Kejayaan itu disifatkan sebagai penanda aras baharu kepada NGO negeri Sabah dalam mengangkat martabat semangat cintakan alam sekitar serta kebersihan pantai.

Program berkenaan turut dijayakan dengan kerjasama strategik daripada pelbagai organisasi iaitu Sawit Kinabalu Group, Grill Patio,K2 Water, Page Eight, HS Printing Solution dan Barber Addict.
Skuad Anak Sabah dalam kenyataannya turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas semangat kesukarelawanan dan sumbangan yang memastikan kejayaan program itu, sekali gus mengharumkan nama Sabah di peringkat kebangsaan. – Info X