Search

PRN17: UPKO dijangka buat kemunculan pertama di Tanjung Aru, cabar Warisan

October 27, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru, sebuah kawasan yang cukup menarik dalam Parlimen Putatan sering menjadi rebutan pelbagai parti setiap kali menjelang pilihan raya.

Uniknya, walaupun pengundi Cina dan Bumiputera bukan Islam tidak mencapai separuh daripada populasi pemilih di kawasan itu, penyandangnya sejak sekian lama datang daripada masyarakat Cina, termasuk yang sekarang, Datuk Junz Wong dari Parti Warisan.

Sebelum ini, pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Edward Yong Oui Fah menyandang kerusi DUN Tanjung Aru sejak ia diwujudkan semula pada 2004, ketika itu atas tiket Barisan Nasional (BN) sehingga ditewaskan Junz pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Atas keunikan itu, Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRN17) pada 29 November depan dijangka sekali lagi menyaksikan pertembungan pemimpin pelbagai parti dan kaum bagi menawarkan khidmat masing-masing kepada rakyat di kawasan itu.

Setakat ini, Junz dijangka dikekalkan Warisan bagi mempertahankan kerusi berkenaan dan beliau pastinya berdepan cabaran lebih besar pada pilihan raya kali ini berbanding PRN16 pada 2020 dan PRU14 pada 2018.

Lebih menarik, calon pelbagai kaum dan latar belakang dijangka mencabar beliau bagi menidakkan penguasaan Warisan sejak kerusi itu jatuh ke tangan parti berkenaan pada 2018.

Bendahari Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Dennison R Indang adalah antara nama yang disebut-sebut bakal mencabar Junz, selain bekas calon Barisan Nasional (BN) pada PRN16, Reduan Aklee yang mungkin dinamakan semula oleh UMNO.

Kehadiran UPKO di Tanjung Aru mungkin dilihat sebagai kemunculan pertama parti itu, namun Dennison yang juga Ketua Bahagian UPKO Kota Kinabalu mungkin mengambil kira sumbangan parti itu sebelum ini yang pernah mewakili kawasan berkenaan di bawah Parlimen Putatan.

Tanjung Aru yang antaranya merangkumi kawasan Sembulan, Tanjung Aru dan Pulau Gaya adalah sebahagian daripada Parlimen Putatan bersama DUN Petagas dan DUN Tanjung Keramat.

Kedudukan Tanjung Aru memang unik kerana berada dalam kawasan bandar raya Kota Kinabalu tetapi persempadanan pilihan raya meletakkannya dalam kawasan Parlimen Putatan yang ketika ini diwakili Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Mei 2018, Parlimen Putatan diwakili pemimpin UPKO Putatan, Datuk Dr Marcus Mojigoh yang menyandang kerusi itu sejak kawasan berkenaan diwujudkan pada 2004.

Atas perkiraan itu, kemunculan UPKO di Tanjung Aru juga boleh dianggap sebagai ‘kehadiran semula’ bagi memenuhi harapan penyokongnya dan rakyat Tanjung Aru keseluruhannya untuk melihat pembaharuan di bawah pemimpin baharu.

Selain UPKO, difahamkan PKR dan DAP turut berhasrat meletakkan calon di Tanjung Aru, manakala sebelum ini AMANAH turut mengintai kerusi berkenaan, menjadikan saingan bertambah ‘unik’ dalam kalangan parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu.

Difahamkan, PKR mungkin mencalonkan Ketua Cabang PKR Putatan yang juga bekas Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari, manakala cakap-cakap politik mengatakan Pengerusi DAP Sabah yang juga penyandang kerusi DUN Luyang, Datuk Phoong Jin Zhe mungkin berpindah ke Tanjung Aru.

Sebelum ini, AMANAH Sabah juga membayangkan hasrat untuk bertanding di kerusi berkenaan dengan mempertaruhkan pengerusinya, Datuk Lahirul Latigu, namun tiada perkembangan rasmi mengenainya setakat ini.

Selain ‘perebutan’ dalam kalangan parti komponen PH, Tanjung Aru juga dijangka menjadi sasaran Perikatan Nasional (PN), khususnya PAS, mengambil kira kehadiran calonnya pada beberapa pilihan raya lalu melalui peguam Hamid Ismail.

Bagaimanapun, Hamid yang baru saja dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak mustahil diletakkan semula sebagai calon parti itu selepas kali terakhir bertanding pada 2018.

Sementara itu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga dilihat dalam dilema untuk menentukan calon dari kalangan enam parti komponennya, namun dijangka pemimpin mewakili PBS atau Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dinamakan di kawasan itu.

Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tanjung Aru, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari yang sebelum ini pernah beberapa kali menjadi calon di kerusi itu atas tiket PKR, awal-awal lagi menjelaskan mahu mempertahankan kerusi DUN Petagas yang dimenanginya atas tiket Warisan pada 2020 sebelum keluar parti.

Ia sekali gus menimbulkan tanda tanya siapa yang bakal dinamakan GRS di kerusi itu jika Gagasan Rakyat diberi amanah untuk bertanding mencabar Warisan di Tanjung Aru.

Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) atau Parti Maju Sabah (SAPP) yang keluar GRS baru-baru ini juga pasti meletakkan calon di bawah inisiatif baharu mereka yang dinamakan Gerakan Bersatu Sabah (GBS).

Pada 2020, Junz Wong mendapat 5,685 undi menewaskan Reduan dari BN yang mendapat 2,538 undi selaku pencabar terdekatnya dengan majoriti 3,147 undi dalam pertandingan lapan penjuru.

Berdasarkan perkembangan semasa, PRN17 pada 29 November depan dijangka sekali lagi menyaksikan pertembungan sengit dengan sekurang-kurangnya tujuh penjuru.

DUN Tanjung Aru mempunyai seramai 21,283 pengundi berdaftar dengan lebih 10,000 pengundi Bumiputera Islam, diikuti kira-kira 8,000 pengundi Cina dan Bumiputera bukan Islam, manakala lebih 2,000 lain-lain pengundi. – Info X