Search

PRN17: STAR Tanjung Keramat ditinggal pemimpin, kembali sokong GRS

October 27, 2025

Info X Reporters

PUTATAN: Setelah kira-kira dua minggu berada di luar Gabungan Rakyat Sabah (GRS), pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Tanjung Keramat akhirnya meninggalkan parti itu untuk kembali menyokong GRS.

Keputusan itu dibuat Ketua Bahagian STAR Tanjung Keramat, Datu Duarin Harris bersama ahli jawatankuasanya yang meletakkan jawatan berkuatkuasa pada 15 Oktober lalu.

Berikutan itu, beliau dan seluruh kepimpinan bahagian STAR Tanjung Keramat kekal menyokong kepimpinan GRS dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Perkara itu dimaklumkan beliau dalam surat rasmi bertarikh 15 Oktober yang dihantar kepada Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan melalui Setiausaha Agung parti, Datuk Edward Linggu.

“Saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai Ketua Bahagian STAR Tanjung Keramat, Putatan berkuatkuasa pada 15 Oktober 2025.

“Semua Ahli Jawatankuasa Bahagian turut melepaskan jawatan masing-masing berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam surat berkenaan.

Duarin turut merakamkan penghargaan kepada Jeffrey atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan sepanjang tempoh kepimpinannya dari 2021 hingga 2025 dan menegaskan komitmennya untuk terus bersama perjuangan GRS di bawah kepimpinan Hajiji.

“Walaupun saya berundur daripada jawatan Ketua Bahagian, saya dan seluruh jentera STAR Tanjung Keramat tetap teguh bersama GRS serta kepimpinan Hajiji,” katanya.

Tindakan Duarin bersama seluruh barisan kepimpinan bahagian meletakkan jawatan adalah tamparan hebat kepada STAR menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah.

Langkah itu mencerminkan hakisan sokongan terhadap STAR selepas parti berkenaan bertindak keluar daripada gabungan GRS, keputusan yang dilihat oleh sebahagian besar akar umbi sebagai langkah yang melemahkan perpaduan politik di Sabah.

Pemerhati politik tempatan berpandangan, pengunduran serentak pimpinan STAR Tanjung Keramat itu bukan saja menjejaskan kekuatan parti di kawasan Putatan, tetapi turut memberi isyarat bahawa sokongan akar umbi kini lebih cenderung kepada gagasan GRS yang diterajui Hajiji.

Mereka menyifatkan tindakan Duarin adalah selaras dengan pendirian ramai bekas pemimpin STAR lain yang memilih untuk kekal bersama GRS kerana percaya dan yakin dengan hala tuju kepimpinan Hajiji yang menekankan kestabilan politik, perpaduan negeri dan kesinambungan pembangunan rakyat. – Info X