Search

Seni bela diri Hapkido dikembang ke Sabah sebagai sukan baharu

October 27, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seni mempertahankan diri Hapkido yang berasal dari Korea kini dibangunkan sebagai sukan baharu yang berpotensi diceburi atlet Sabah hingga ke peringkat antarabangsa.

Diketuai Master Bernardo Vivero dengan bantuan Emran Azmie Rosle, Hapkido Sabah kini giat memperkukuh sukan itu sebagai persediaan menghadapi kejohanan antarabangsa pada masa akan datang.

Antara yang disertai pasukan Hapkido Sabah setakat ini ialah Kejohanan Hapkido Asia Tenggara Kali Kedua di Yogyakarta, Indonesia pada Jun lalu dengan penyertaan empat orang atlet Sabah sebagai persiapan awal menuju pentas yang lebih besar.

Bernardo berkata, selaku pengasas Hapkido Sabah, dalam tempoh hampir setahun sejak penubuhannya, beliau aktif mengadakan ceramah dan seminar Hapkido di seluruh negeri bagi memperkenalkan sukan itu kepada masyarakat, khususnya golongan belia dan beliawanis.

“Matlamat kami adalah untuk menjadikan Hapkido dikenali ramai dan seterusnya menjadi salah satu sukan rasmi dalam temasya Sabah Games (SAGA) dan Sukan Malaysia (SUKMA) suatu hari nanti,” katanya.

Beliau berkata, Hapkido bukan sekadar satu cabang seni bela diri, tetapi juga falsafah hidup yang menekankan disiplin diri, rasa hormat dan keharmonian antara manusia.

Dalam seminar yang diadakan, Bernardo turut menyentuh mengenai sejarah dan penubuhan Hapkido di Sabah, di samping memperkenalkan teknik asas seperti kuncian, bantingan dan penggunaan senjata tradisional Hapkido.

Seminar itu turut bertujuan memperkukuh rangkaian antara kelab-kelab Hapkido berdaftar di bawah Pesuruhjaya Sukan (PJS) ke arah pembentukan badan induk rasmi Hapkido Negeri Sabah.

Penyertaan dalam seminar itu melibatkan pelbagai pengamal seni bela diri seperti Taekwondo, Silat, Boxing, Muay Thai, serta pegawai penguat kuasa dari seluruh negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Hapkido Sabah turut berbangga kerana mendapat sokongan padu daripada Hapkido Indonesia, yang menjadi antara negara paling maju dalam pembangunan Hapkido di rantau ini.

Katanya, di bawah pimpinan Grand Master Yoyok dan Persatuan Hapkido Dunia, kerjasama erat itu diharap dapat memperkukuh lagi perjalanan Hapkido di Sabah.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau berminat menganjurkan seminar Hapkido, boleh menghubungi Bernardo Vivero di talian 010-453 9970. – Info X