Search

LAGI ADUN WARISAN KELUAR PARTI, SERTAI GAGASAN RAKYAT

February 27, 2023

admin

KOTA KINABALU: Seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), hari ini.

ADUN Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari mengumumkan perkara itu dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, keputusan berkenaan diambil selepas membuat perbincangan dengan pemimpin di peringkat bahagian.

“Saya pada hari ini bersama seluruh cawangan kecuali tiga atau empat cawangan mengumumkan kami akan meninggalkan Warisan.

“Kita juga menyatakan bakal menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya dalam sidang media itu.

Tiga ADUN Warisan pada 6 Februari lalu terlebih dahulu mengumumkan keluar daripada parti itu.

Semua ADUN adalah Mohammad Mohamarin (ADUN Banggi), Chong Chen Bin (Tanjong Kapor) dan Norazlina Arif (Kunak).

Ketiga-tiga pemimpin berkenaan menjadi ADUN Bebas yang menyokong kerajaan negeri kepimpinan Hajiji sebelum mengumumkan menyertai Gagasan Rakyat pada 21 Februari lalu. – Info X