TUARAN: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan dakwaan segelintir pihak menuduh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyatakan sokongan terhadap beliau dibeli atau disogok sebagai tuduhan tidak berasas.
Hajiji menegaskan semua ADUN yang memberikan sokongan ke atas dirinya adalah kerelaan sendiri selain mengambil kira kepentingan rakyat di negeri itu semata-mata.
“Kita menafikan sekeras-kerasnya tuduhan sesetengah pihak terutama Presiden Warisan (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) yang menyatakan mereka (ADUN keluar parti) dibeli atau diberi rasuah.
“Itu tidak benar sama sekali. Boleh tanya kepada wakil-wakil rakyat yang menyeberang dan menyokong kerajaan sekarang ini. Mereka menyokong kerana mereka fikir perlu menyokong kerajaan yang ada ini untuk kebaikan dan kepentingan negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Presiden Parti Warisan (warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mendakwa tiga ADUN Warisan bertindak keluar parti dan menyokong Hajiji ekoran sudah dibeli dan disogok.
Selain itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat turut mendakwa kegiatan membeli ADUN di Sabah didakwa masih lagi berlaku sehingga hari ini termasuk oleh Kerajaan GRS.
Sementara itu, Hajiji turut menyambut baik sokongan yang diberikan oleh Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang sebelum ini pernah menarik sokongan terhadap kerajaan di bawah pimpinannya.
“Terpulanglah kepada mereka menerima kepimpinan dan menyokong saya.
“Saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Itu adalah atas kerelaan mereka sendiri,” katanya. – Info X