Search

TIADA TERIMA TINDAKAN TATATERTIB, SAYA BUKAN AHLI UMNO – YUSOF

February 27, 2023

admin

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob memaklumkan dirinya tidak menerima sebarang surat tindakan tatatertib untuk dipanggil menghadap Lembaga Disiplin UMNO.

Yusof berkata, hal itu disebabkan borang pendaftaran beliau untuk menyertai UMNO sebelum ini tidak mendapat pengesahan kepimpinan tertinggi parti.

“Saya beranggapan hari itu telah diterima menjadi ahli kerana sudah mengisi borang dan menghantarnya ke pejabat perhubungan UMNO negeri selain dihantar ke ibu pejabat UMNO di Kuala Lumpur.

“Tetapi dalam masa sama, mereka rupanya ada agenda lain dan tidak mahu saya masuk ke dalam UMNO.

“Mungkin ada pemimpin yang takut saya berada di dalam UMNO kerana boleh menjadi saingan kepada mereka terutama sekali UMNO di bahagian Sipitang.

“Saya kata tidak apa kalau mereka tidak mahu menerima, “Saya ini orang politik. Saya terpaksa mencari landasan untuk perjuangan politik.

“Oleh itu, tanpa ada rasa ragu-ragu, saya tidak ada masalah untuk menyertai mana-mana parti yang difikirkan sesuai. Hal ini mendorong saya memilih Gagasan Rakyat sebagai platform dalam meneruskan perjuangan.

“Sebagai pencerahan, hanya empat orang sahaja yang menerima surat daripada Lembaga Disiplin UMNO iaitu Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk), Datuk Hamid Awang (Balung), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit) dan Datuk James Ratib (Sugut) manakala saya tidak menerima sebarang surat.

“Hal ini bermakna hanya empat individu sahaja yang dipanggil Lembaga Disiplin,” katanya ketika ditemui media selepas sidang media khas ADUN Petgas, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari tentang pengumuman beliau keluar dari Parti Warisan (Warisan), di sini, hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai status kemasukan beliau ke dalam Gagasan Rakyat, Yusof menyatakan secara dasar penyertaan dirinya sudah diterima. – Info X