Search

Laksanakan segera aspirasi rakyat selepas pembentukan Kabinet – Armizan

December 2, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Aspirasi rakyat Sabah perlu dilaksanakan segera melalui sebuah kerajaan yang stabil, inklusif dan berintegriti tanpa mengambil kira dari mana datangnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menganggotai Kabinet.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata ADUN pembangkang juga memainkan peranan yang penting sebagai semak dan imbang.

“Dari manapun datangnya ADUN yang dipilih dan menjadi komponen kepada Kerajaan Negeri, pastikan aspirasi Sabahan dilaksanakan segera melalui sebuah kerajaan yang stabil, inklusif dan berintegriti.

“Sementara ADUN-ADUN pembangkang memainkan peranan penting semak dan imbang. Moga segala ikhtiar diberkati untuk merintis masa depan yang jauh lebih baik untuk Sabah dan Sabahan keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Ahli Parlimen Papar itu menyifatkan Kabinet Kerajaan Sabah yang dibentuk pada Isnin didirikan atas komitmen setiap wakil parti yang terlibat untuk membentuk kerangka dan asas utama hala tuju negeri.

“Sungguhpun kesemua lima ADUN Bebas pernah menjadi pimpinan parti GRS sebelum hari penamaan calon, suara mereka kini atas kapasiti ADUN Bebas amat penting.

“Agenda mendahulukan dan mengutamakan hak dan kepentingan Sabah akan menjadi teras utama sebagaimana yang termaktub dalam aku janji pilihan raya semua parti dan ADUN yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, Kabinet Negeri bertanggungjawab memaklumkan kepada rakyat kerangka dan asas agenda utama negeri sebaik Mesyuarat Jemaah Menteri yang pertama.

“Sungguhpun tidak ada satu gabungan parti yang mendapat majoriti mudah untuk menubuhkan Kerajaan, namun mandat rakyat yang turun mengundi inginkan sebuah Kerajaan didirikan untuk membawa perubahan yang lebih bernilai dan bermakna,” katanya. – Info X