Search

Laluan pejalan kaki kotor, busuk – menteri minta tindakan segera diambil

March 26, 2023

admin

KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew meminta pihak berkuasa berkaitan supaya segera menyelesaikan masalah kebersihan serta membaiki laluan pejalan kaki yang rosak di Kompleks Sinsuran.

Katanya, agak menyedihkan apabila lorong belakang kedai dan laluan pejalan kaki di tengah-tengah bandaraya ini didapati tidak diselenggara dengan baik.

Christina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api, baru-baru ini, turun padang membuat tinjauan di kompleks berkenaan dan mendapati kemudahan laluan pejalan kaki rosak, terdapat paip pecah selain kotor dan berbau busuk.

Sehubungan itu, beliau menyeru pihak berkuasa berkaitan untuk segera mengambil tindakan bagi memperbaiki keadaan sekali gus menjadikan persekitaran lebih kondusif.
 
“Saya terkejut, ianya sangat kotor, sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar saya malu dengan pemandangan ini.

“Sekarang, sempadan kita telah dibuka, pelancong antarabangsa sudah mula melawat ke sini, sudah tentu pemandangan seumpamanya memberikan kesan negatif.

“Kota Kinabalu ialah ibu kota dan pintu masuk ke Sabah. Berdasarkan senario semasa, apakah jenis pelancongan bandar yang kami tawarkan kepada pelancong dan pelawat?. 

“Adakah begitu sukar untuk menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandaraya yang boleh didiami?,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Sementara itu, Christina turut mendapati beberapa batang pokok di tengah-tengah jalan perlu ditebang kerana terlalu besar.

“Pihak berkuasa juga perlu menangani masalah berterusan seperti najis burung yang mengotorkan kenderaan yang diletakkan di luar kedai,” katanya.

Beliau juga menggesa pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) melihat keperluan penambahbaikan keadaan jalan di Kompleks Sinsuran. – Info X