Search

Seorang tidak sedar diri, 4 selamat terhidu gas beracun

March 26, 2023

admin

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tidak sedarkan diri manakala empat rakan sekerjanya selamat selepas terhidu gas beracun dipercayai daripada sebuah tong berisi ikan yang busuk di sebuah jeti di Sepanggar,  di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.10 malam itu, Jirol Carumpi, 23, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri manakala empat lagi mangsa berusia 19 hingga 39 tahun selamat.

Mangsa yang tidak sedarkan diri dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. – Foto Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima maklumat berkenaan kejadian itu, sepasukan anggota dan pegawai bomba termasuk Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, setiba di lokasi pasukan HAZMAT lengkap dengan sut Pakaian Perlindungan Diri (PPE) melakukan pemeriksaan di kawasan berkenaan untuk mendapat Lembaran Data Keselamatan Bahan (MSDS) namun tidak mengesan apa-apa bahan kimia.

Mangsa terhidu gas beracun diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital. – Foto Bomba

“Terdapat lima mangsa dilaporkan terbabit dikeluarkan oleh pasukan HAZMAT. Seorang daripada mangsa tidak sedarkan diri diserahkan kepada ambulans untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Empat lagi selamat dan turut dihantar ke hospital menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati semua mangsa terhidu gas beracun berpunca daripada sebuah tong berisi ikan yang busuk.

Mangsa terhidu gas beracun dipercayai daripada sebuah tong berisi ikan yang busuk dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut. – Foto Bomba

“Selepas memastikan tiada kemerbahayaan operasi ditamatkan pada 10.08 malam tadi,” katanya. – Info X