KOTA KINABALU: Cubaan empat lelaki mencuri kabel di Lido, di sini yang mencetuskan aksi kejar – mengejar hingga ke Tuaran, awal pagi tadi, turut disiasat sebagai cubaan membunuh selepas suspek dipercayai cuba merempuh kenderaan polis.
Perkembangan itu disahkan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman yang memaklumkan semua suspek tempatan berusia antara 28 hingga 43 tahun berjaya ditahan, manakala seorang lagi masih diburu.
Menurutnya, dalam kejadian jam 3.19 pagi itu, suspek dikesan melakukan kegiatan mencuri kabel di kawasan Lido sebelum cuba meloloskan diri sebaik kehadiran polis disedari.
“Berlaku aksi kejar – mengejar hingga ke kawasan berhampiran Rugading, Tuaran apabila suspek memandu secara melawan arus dan berbahaya.
“Malah, suspek turut cuba melanggar kenderaan polis beberapa kali dalam usaha melarikan diri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, dalam cubaan meloloskan diri itu, kenderaan dinaiki suspek turut melanggar sebuah kenderaan orang awam hingga menyebabkan pemandunya cedera.
Beliau berkata, seramai empat lelaki tempatan berusia antara 28 hingga 43 tahun berjaya ditahan, manakala seorang lagi suspek masih diburu.
“Hasil pemeriksaan, polis merampas sebuah Toyota Hilux bersama beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri kabel termasuk alat pemotong, chain block, besi yang diubah suai serta gulungan kabel.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia berkaitan kesalahan mencuri kabel,” katanya.
Terdahulu, empat lelaki disyaki mencuri kabel gagal melarikan diri apabila Toyota Hilux Vigo dinaiki mereka terbabit kemalangan selepas hilang kawalan sebelum merempuh sebuah Isuzu Invader berhampiran Kampung Berungis, Tuaran kira-kira jam 4.40 pagi.
Kemalangan itu mengakibatkan lima mangsa cedera termasuk empat suspek dan seorang lelaki berusia 61 tahun yang memandu kenderaan terbabit sebelum semua mangsa dikeluarkan pasukan bomba dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut. – Info X