KOTA MARUDU: Kehilangan lapan lembu di dua kampung di Pitas, di sini, bagaikan misteri apabila haiwan ternakan itu dilaporkan lesap dalam tempoh berasingan bulan ini.
Kes pertama dilaporkan pada 21 April lalu membabitkan kehilangan enam lembu di Kampung Telaga dengan anggaran kerugian sekitar RM30,000.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simun Lomudin berkata, laporan kedua diterima pada 28 April membabitkan kehilangan dua lagi lembu di Kampung Tambilidon.

“Kes kedua ini dianggarkan menyebabkan kerugian kira-kira RM10,000, menjadikan jumlah keseluruhan lapan ekor lembu hilang.
“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, polis kini giat menjalankan usaha mengesan serta memburu suspek yang dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri ternakan berkenaan.
Beliau berkata, penternak dinasihatkan supaya meningkatkan langkah keselamatan termasuk memantau kawasan ternakan dan tidak membiarkan haiwan berkeliaran tanpa kawalan.
“Orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Romio Wong di talian 019-6851343 atau Inspektor Sathes A/L Maniam di talian 017-9689231,” katanya – Info X