KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) sudah mengambil tiga langkah segera bagi menangani kes penyalahgunaan nama dan logo universiti itu di media sosial.
Tiga langkah itu ialah melaksanakan pemantauan berterusan terhadap kandungan dan akaun yang berkaitan; mengambil tindakan susulan melalui saluran yang bersesuaian, termasuk aspek perundangan; dan memperkukuh saluran komunikasi rasmi universiti sebagai rujukan utama.
Menerusi satu kenyataan pada Jumaat, Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata tiga langkah itu adalah tindakan susulan pigak UMS bagi memastikan isu penyalahgunaan nama dan logo universiti di platform media sosial ditangani dengan segera dan berkesan.
Katanya, UMS sentiasa menghargai keterlibatan dan keprihatinan warga pelajar dalam menyuarakan pandangan serta menyumbang kepada pembangunan universiti dan masyarakat.
“Sehubungan itu, bagi memastikan setiap maklumat yang dikongsi adalah tepat, sahih dan memberi manfaat kepada semua, UMS telah melaksanakan pemantauan berterusan terhadap kandungan dan akaun yang berkaitan; mengambil tindakan susulan melalui saluran yang bersesuaian, termasuk aspek perundangan; dan memperkukuh saluran komunikasi rasmi universiti sebagai rujukan utama
“UMS menegaskan bahawa identiti universiti adalah amanah bersama yang perlu dipelihara dengan penuh tanggungjawab.
“Sehubungan itu, sebarang perkara berkaitan hal ehwal pelajar, termasuk penyampaian kenyataan yang mewakili universiti kepada masyarakat umum, adalah digalakkan untuk disalurkan melalui saluran rasmi universiti dan diselaraskan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar bagi memastikan penyampaian yang lebih tersusun, tepat dan berkesan.
“Sebagai Naib Canselor, saya menyeru seluruh warga UMS untuk terus mengamalkan komunikasi yang berhemah, berfakta, saling menghormati dan mematuhi peraturan, selaras dengan nilai universiti sebagai Brain of Borneo,” katanya.
Katanya, UMS akan terus komited dalam memelihara kepercayaan masyarakat serta memastikan persekitaran kampus yang inklusif, bertanggungjawab dan berintegriti.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa merujuk kepada saluran rasmi UMS bagi mendapatkan maklumat yang sahih. – Info X