KOTA MARUDU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga emas yang hilang di Kampung Bawang, Pitas, di sini, dipergiat pada hari keempat dengan peluasan kawasan pencarian melibatkan koordinasi pelbagai agensi.
Mangsa, Sarina Samam Kassim, 80, masih belum ditemukan setakat hari ini walaupun operasi diteruskan secara bersepadu sejak dilancarkan pada 24 Mac lalu.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas Sentay Bakau berkata, operasi hari keempat bermula seawal jam 9.33 pagi dengan penglibatan anggota bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.
“Pasukan penyelamat memberi tumpuan pencarian di laluan baharu dengan anggaran jarak sejauh 2.8 kilometer bermula dari Pos Kawalan sehingga ke kawasan Loji Rawatan Air Pitas.
“Pendekatan pencarian diperluas bagi meningkatkan kebarangkalian mengesan mangsa yang dilaporkan keluar dari rumah sejak 22 Mac lalu dan tidak pulang,” katanya.

Sebelum ini katanya, operasi pada hari pertama memfokuskan pencarian dalam radius kira-kira empat kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat.
“Operasi kemudian disusun semula dengan penilaian semasa di lapangan bagi menentukan sektor pencarian lebih efektif berdasarkan maklumat dan petunjuk yang diperoleh.
“Unit K9 turut digerakkan bagi membantu mengesan jejak mangsa di kawasan hutan yang mencabar selain sokongan berterusan daripada agensi keselamatan lain,” katanya.
Beliau berkata, keadaan bentuk muka bumi serta keluasan kawasan pencarian menjadi antara cabaran utama pasukan penyelamat dalam operasi berkenaan.
“Walaupun berdepan kekangan, operasi diteruskan secara berfasa dengan strategi pencarian diperkemas dari semasa ke semasa.
“Setakat ini, mangsa masih belum ditemukan dan operasi SAR akan diteruskan sehingga ada perkembangan positif.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu bagi mempercepatkan usaha mengesan mangsa,” katanya.
Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya kira-kira jam 4 petang 22 Mac lalu.
Menurut laporan, mangsa tidak pulang ke rumah sehingga keesokan harinya sebelum anaknya yang juga pengadu membuat laporan kepada pihak polis pada 23 Mac kira-kira jam 4.20 petang.
Susulan laporan itu, pasukan penyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bergegas ke lokasi bagi mendapatkan maklumat awal sebelum operasi SAR dilancarkan. – Info X