KOTA KINABALU: Selepas mendesak Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meletak jawatan, pemimpin UMNO tampil pula dengan cadangan melantik Datuk Dr Jeffrey Kitingan sebagai Ketua Menteri Interim bagi mengambil alih sementara jawatan itu daripada Hajiji.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Bendahari Pemuda UMNO, Mohd Kurniawan Naim Moktar, berkata Hajiji sewajarnya meletakkan jawatan secara bermaruah setelah mengalami krisis integriti, reputasi dan kredibiliti.
Katanya, ia berikutan pendedahan ‘whistleblower’ berkaitan kes skandal rasuah Sabah Mineral Management (SMM) yang membabitkan beliau dan beberapa menteri dan Pengerusi GLC di Sabah.
“Beliau perlu menjadi seorang pemimpin berjiwa besar dan bermaruah dengan meletakkan jawatan bagi memberi ruang kepada DSP Jeffrey Kitingan yang memiliki kredibiliti, integriti dan reputasi yang positif untuk mengetuai pentadbiran selaku Ketua Menteri Sabah.
“Ibarat Ditelan Mati Emak, Diluah Mati Bapa, beliau perlu menerima hakikat dan realiti bahawa pendedahan video-video skandal rasuah tersebut telah merosakkan imej Negeri Sabah dalam variasi aspek dan perspektif terutamanya perihal ‘deficit of trust’ (Defisit Kepercayaan) dalam kalangan pelabur asing, masyarakat awam dan sebagainya.
“Selaku pemimpin, beliau perlu memprioritikan ‘state economy’ (Ekonomi Negeri) dan ‘people economy’ (Ekonomi Rakyat) berbanding mengekalkan kepentingan kuasa dan politik peribadi sekali gus menjejaskan potensi perkembangan ekonomi dalam mendepani cabaran ekonomi tahun 2025,” katanya.
Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan itu berkata, berdasarkan laporan Business Insider dan Laporan JP Morgan, ‘Economic Recession’ (Kemelesetan Ekonomi) global akan bermula pada Januari 2025.
Selain itu, katanya MarketWatch pada September 2024 turut melaporkan kebarangkalian sebanyak 30 peratus akan berlaku kemelesetan ekonomi.
“Oleh itu, kerajaan perlu memberikan jaminan bahawa Negeri Sabah telah bersedia untuk mendepani cabaran ekonomi pada tahun 2025.
“Namun realitinya, krisis integriti, reputasi dan kredibiliti YAB Ketua Menteri akan mengakibatkan Defisit Kepercayaan dalam kalangan pelabur asing sekali gus membentuk sfera ekonomi negatif yang akan menjejaskan potensi pelaburan 2025.
“Bagi mendepani cabaran ekonomi 2025, DSP Jeffrey Kitingan perlu diberikan peluang untuk mengetuai pentadbiran kerajaan Negeri Sabah. STAR merupakan ‘political alliance’ (Sekutu Politik) PGRS dalam membentuk kerajaan Negeri Sabah.
“DSP Jeffrey Kitingan selaku pemimpin politik berpengalaman perlu diberikan peluang sewajarnya bagi membendung krisis integriti, reputasi dan kredibiliti yang menjejaskan imej Negeri Sabah,” katanya.
Anak Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin itu berkata, Hajiji perlu memahami konsep Prinsip Kepercayaan yang menggariskan beberapa prinsip asas yang perlu dimiliki bagi menjamin kepercayaan pelabur asing, antaranya integriti, reputasi dan kredibiliti.
“Kita perlu mengakui bahawa Defisit Kepercayaan akan meningkatkan risiko kemelesetan ekonomi kepada Negeri Sabah. Saya berkeyakinan bahawa DSP Hajiji Noor juga memahami konsep ‘risk management’ (Pengurusan Risiko) dalam disiplin ekonomi.
“Oleh itu, berundurlah secara bermaruah demi kepentingan ekonomi rakyat dan ekonomi Negeri Sabah sebelum potensi perkembangan ekonomi menerusi pelaburan asing terjejas.
“Usahlah mengorbankan ekonomi rakyat demi kepentingan kuasa dan politik peribadi. Berilah peluang kepada DSP Jeffrey Kitingan untuk menerajui pentadbiran Negeri Sabah bagi memulihkan krisis ‘deficit of trust’,” katanya. – Info X