KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Datuk Seri Ruddy Awah memberi amaran akan menyaman individu yang mengaitkan namanya dengan dakwaan skandal rasuah ADUN Sabah.
Beliau merujuk hantaran di laman sosial Facebook dan TikTok yang menuduh beliau bersama ADUN Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin dan ADUN Sugut, Datuk James Ratib terbabit dengan rasuah dan salah guna kuasa berkaitan isu tanah.
“Saya difitnah, kononnya saya dan dua rakan saya, (Abdul Ghani dan James) melakukan rasuah dan pecah amanah membabitkan isu tanah sedangkan saya tidak pernah bercerita pasal tanah dengan Abdul Ghani atau James.
“Jadi, saya terkejut apabila diri saya dan dua rakan ini, nama kami dikaitkan dengan beberapa video viral membabitkan ADUN lain yang ditularkan sebelum ini sedangkan tiada video membabitkan kami,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.
Ruddy mengakui tidak pernah bertemu dengan individu yang menemubual ADUN dalam video tular yang disebarkan melalui sebuah portal berita sebelum ini, namun nama beliau cuba dikaitkan melalui fitnah yang disebarkan di media sosial.

“Ini saja cara mereka (pihak lawan), jadi saya tidak puas hati dan saya wakilkan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Pitas untuk membuat laporan polis berhubung tuduhan fitnah itu kelmarin.
“Jadi, saya minta polis siasat siapa pemilik akaun Facebook dan TikTok yang menuduh saya itu supaya saya boleh bawa ke muka pengadilan nanti,” katanya.
Sementara itu, beliau menyifatkan penyebaran video yang didakwa skandal rasuah ADUN Sabah sebagai mainan politik untuk menjatuhkan maruah kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Bagaimanapun, katanya pemimpin GRS termasuk beliau sendiri sudah siap sedia berdepan perkara seumpama itu, termasuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melaksanakan siasatan terperinci.
“Saya sendiri membuat laporan polis sebelum menghantar salinan ke SPRM dan saya sendiri datang ke pejabat SPRM meminta mereka melakukan siasatan.
“Saya mahu bekerjasama dengan SPRM bagi memastikan mana-mana pihak yang menaikkan nama saya di media sosial dapat diambil tindakan sebaik mungkin,” katanya.
Ruddy turut mencabar pihak yang memfitnahnya supaya datang menyebar tuduhan seumpama itu di Pitas dan membuktikan jika ada tanah penduduk di daerah itu dirampasnya.
Beliau mengakui sebelum ini terbabit dalam perniagaan berkaitan hartanah, namun hartanah diperolehi secara sah melalui proses jual beli dengan pemilik sebelumnya. – Info X