KOTA KINABALU: Sebanyak lapan buah sekolah di Sabah membabitkan 2,425 murid dan 204 guru terjejas akibat banjir yang berlaku sejak semalam.
Pengarah Pendidikan Sabah, Mistrine Radin berkata, sekolah yang terbabit ialah di daerah Tenom, Beaufort dan Penampang.
Katanya, kesemua murid dan guru yang terlibat akan menjalani pembelajaran dan pengajaran dari rumah (PdPR) sehingga kerja-kerja pembersihan selesai dan keadaan selamat.
“Sebanyak empat buah sekolah terjejas di Tenom iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Gumisi, SK Ladong Sapong, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Syn dan SK Inubai.
“Sementara itu di Beaufort, sebanyak tiga sekolah terjejas iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Paul, SK Lago dan SK Bukau manakala sekolah yang terjejas di Penampang ialah di SK Tombovo,” katanya ketika dihubungi, hari ini. – Info X