Search

Laporan nahas ‘Double Six’ belum lengkap – keluarga Tun Fuad Stephen

April 13, 2023

admin

KOTA KINABALU: Keluarga Allahyarham Tun Fuad Stephen berkata, laporan penuh nahas pesawat Sabah Air dalam tragedi ‘Double Six’ 1976, yang didedahkan kepada umum sejak semalam belum lengkap selagi kerajaan Australia tidak melakukan perkara sama.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan keluarga Allahyarham Tun Fuad Stephen, hari ini, mereka menyifatkan laporan mengenai nahas berkenaan yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan tidak memberi gambaran menyeluruh.

Kenyataan itu berkata, Australia juga perlu mendedahkan laporan hasil siasatannya berhubung nahas yang mengorbankan bekas ketua menteri Sabah itu bersama 10 individu lain pada 6 Jun 1976.

Mereka berkata, langkah itu demi keadilan terhadap semua yang terbabit dalam nahas berkenaan, termasuk mereka yang disebut secara negatif dalam laporan yang didedahkan, seperti juruterbangnya.

“Kita merasakan tidak mendapat gambaran yang lengkap berhubung punca kemalangan pesawat terbabit kecuali kita dapat melihat semua laporan dari Australia,” kata kenyataan itu.

Australia terbabit dalam siasatan nahas pesawat Nomad itu berikutan ia adalah keluaran negara berkenaan.

Dalam kenyataan itu, keluarga Tun Fuad mendakwa laporan mengenai nahas pesawat itu ada tersimpan di Kementerian Pertahanan Australia, Kilang Pesawat Kerajaan (GAF) selaku pengeluar pesawat dan pelbagai fail dalam Arkid Negara Australia yang tidak didedahkan kepada umum.

Berikutan itu, mereka mahu agar usaha dapat diambil oleh pihak berkuasa negara ini untuk mendesak supaya dokumen berhubung nahas itu yang disimpan di Australia dikeluarkan.

“Sebelum ini kami pernah menulis surat kepada Biro Siasatan Kemalangan Udara, Kementerian Pengangkutan pada Jun 2020 meminta salinan laporan nahas berkenaan.

“Bagaimanapun biro terbabit memaklumkan bahawa ia tidak menemui salinan laporan itu dan kalau adapun, ia diklasifikasikan sebagai rahsia,” katanya.

Sementara itu, mengenai laporan yang didedahkan Kementerian Pengangkutan semalam, keluarga Tun Fuad menyifatkan kandungannya tidak dapat menjawab soalan berhubung kerahsiaan laporan berkenaan.

Mereka mempersoalkan mengapa laporan itu diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Kenapa ia tidak dikeluarkan pada masa nahas itu berlaku,” katanya.

Keluarga Tun Fuad berkata, bekas Ketua Menteri dan Yang di-Pertua Negeri Sabah itu juga pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia antara 1967 hingga 1973 dan beberapa anaknya turut belajar di negara berkenaan.

Sehubungan itu, mereka berpendapat kerajaan Australia perlu mengeluarkan laporan mengenai nahas pesawat terbabit yang tersimpan sejak 47 tahun lalu.

Mereka turut berterima kasih kepada bekas Ketua Menteri, Tan Sri Harris Salleh yang meminta laporan nahas pesawat itu didedahkan melalui mahkamah, selain Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan keputusan kerajaan menyahklasifikasi dokumen laporan akhir nahas pesawat terbabit. – Info X