KOTA BELUD: Seorang remaja perempuan dilaporkan hilang, selepas didakwa masuk ke dalam hutan berhampiran rumahnya di Kampung Dudar, di sini, hari ini, kerana dipercayai terjadi perselisihan faham.
Mangsa berusia 11 tahun dipercayai keluar dari rumah semalam, selepas berlaku perselisihan faham dengan keluarganya.
Mangsa dikatakan pulang semula ke rumah pada 3.30 pagi hari ini, namun melarikan diri semula ke dalam hutan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 7.54 pagi.
Katanya, seramai 14 pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud digerakkan ke tempat kejadian.

“Pasukan bomba berada di lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat dan seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan mangsa dilaporkan hilang.
“Operasi SAR turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, maklumat terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa. – Info X