Search

Lebih 130,000 pengguna terbabit catuan elektrik – Sabah Electricity

June 29, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kira-kira 74,000 pengguna Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) terbabit dalam catuan bekalan elektrik bagi sesi pertama yang dilaksanakan bermula jam 1 tengah hari hingga 4 petang, pada Isnin.

Menerusi satu kenyataan, Sabah Electricity memaklumkan kira-kira 62,000 pengguna lagi akan terbabit dalam catuan bekalan fasa kedua yang bermula jam 6.30 petang hingga 8 malam.

Katanya, pelaksanaan catuan dibuat secara penggiliran pada waktu puncak antara dua hingga tiga jam bagi meminimumkan impak kepada pengguna.

“Pengguna boleh menyemak senarai kawasan yang terlibat melalui Facebook Sabah Electricity Careline,” katanya.

Sabah Electricity berkata, catuan bekalan elektrik dilaksanakan di beberapa kawasan susulan kekurangan kapasiti penjanaan disebabkan masalah penyaluran gas dari PETRONAS.

Jelasnya, PETRONAS sudah memulihkan sepenuhnya bekalan gas luar pesisir, namun catuan bekalan elektrik masih dilaksanakan kerana salah satu daripada stesen janakuasa Penjana Kuasa Bebas (IPP) belum dapat beroperasi sepenuhnya.

“Sabah Electricity sedang memantau keadaan sistem secara berterusan dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi Facebook Sabah Electricity Careline.

“Pengguna juga boleh menghubungi Sabah Electricity Careline di talian 15444 untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut.

“Sabah Electricity memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan amat menghargai kesabaran serta kerjasama semua pengguna sepanjang tempoh ini,” katanya. – Info X