TAWAU: Polis menahan seorang lelaki selepas bertindak mengamuk dan mengugut seorang wanita dengan parang di kawasan Kampung Saddani, Batu 2, Jalan Apas, di sini, Rabu lalu.
Penahanan suspek berusia 33 tahun itu dibuat selepas satu laporan polis dibuat mangsa berusia 59 tahun.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.40 petang apabila suspek tiba-tiba mengamuk tanpa sebab yang jelas, menyebabkan mangsa berasa terancam dan segera membuat laporan polis.
“Ketika kejadian, suspek bertindak menumbuk dinding rumah wanita terbabit sebelum mencapai sebilah parang dan mengancam mangsa dengan kata-kata ugutan.
“Sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), IPD Tawau berjaya menahan suspek tidak jauh dari lokasi kejadian kira-kira jam 3.40 petang, kelmarin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, hasil semakan rekod, suspek mempunyai empat rekod berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang mengancam keselamatan orang lain.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kejadian jenayah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di daerah ini terjamin,” katanya. – Info X